Habib Sangeng al-Haddad
Beliau
adalah Habib 'Abdullah bin 'Ali bin Hasan bin Husain bin Ahmad bin Hasan bin
Shohibur Ratib Habib 'Abdullah al-Haddad.
Dilahirkan
pada tanggal 2 Shafar al-Khair 1261H di Kota Hawi, Tarim, Hadhramaut. Habib
'Abdullah bin 'Ali al-Haddad @ Habib Sangeng lahir dalam keluarga yang kuat
berpegang dengan agama, keluarga keharuman ahlul bait dan kewalian semerbak
mewangi. Sejak kecil lagi beliau dididik dan diasuh sendiri oleh ayahanda
beliau sehingga dalam usia kecil tersebut beliau telah hafal al-Quran.
Kemudian
beliau berguru pula dengan berbilang ulama besar di Hadhramaut, antara guru
beliau adalah:-
Habib 'Abdur Rahman al-Masyhur, mufti
Hadhramaut, pengarang kitab "Bughyatul Mustarsyidin";
Habib 'Umar bin Hasan al-Haddad;
Habib 'Aidrus bin Umar al-Habsyi, pengarang "Iqdul Yawaaqit";
Habib Muhsin bin 'Alwi as-Saqqaf;
Habib Muhammad bin Ibrahim BilFaqih;
Habib Thahir bin 'Umar al-Haddad;
Syaikh Muhammad bin 'Abdullah BaSaudan;
Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhar;
Pada
tahun 1295 H, berangkatlah beliau menuju ke Haramain untuk menunaikan ibadah
haji. Di kota Makkah, beliau tinggal di kediaman Al-Habib Muhammad bin Husain
al-Habsyi, ayahanda Shohibul Mawlid Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi, yang
berada di daerah Jarwal. Di sana keduanya saling mengisi dengan membaca
bersama-sama kitab-kitab agama. Pada saat di kota Madinah, beliau bertemu
dengan Asy-Syaikh Muhammad Abdul Mu''thi bin Muhammad Al-'Azab, seorang faqih
dan pakar bahasa dan kesusasteraan Arab, serta pengarang kitab Mawlid al-'Azab.
Di sana juga keduanya saling mengisi dengan saling memberikan ijazah. Di Kota
Madinah juga, kemuliaan dan ketinggian maqam beliau tersingkap apabila Mufti
Haramain, Sayyid 'Umar Syatha datang kepada beliau dan sangat-sangat memuliakan
beliau. Diceritakan bahawa sebelumnya, Sayyid 'Umar telah bermimpikan Junjungan
Nabi SAW yang memerintahkan beliau untuk menziarahi Habib 'Abdullah bin 'Ali
al-Haddad dan Junjungan SAW turut memaklumkannya bahawa Habib 'Abdullah
al-Haddad ini adalah cucu baginda yang sebenar.
Pada
tahun 1297 H, beliau melakukan hijrah dalam rangka berdakwah ke negeri Melayu.
Tempat awal yang beliau tuju adalah Singapura, kemudian beliau menuju ke Johor.
Di Johor beliau tinggal selama 4 tahun. Setelah itu beliau meneruskan
perjalanan dakwahnya ke pulau Jawa. Sampailah beliau di daerah Betawi. Beliau
lalu meneruskan perjalanan ke kota Bogor, Solo dan Surabaya. Beliau tidak
tertarik tinggal di kota-kota tersebut, walaupun diajak penduduk setempat untuk
menetap di kotanya.
Sampai
akhirnya pada tahun 1301 H, tepatnya akhir Syawal, beliau tiba di kota Bangil.
Disanalah beliau menemukan tempat yang cocok untuk menetap dan berdakwah.
Mulailah beliau membuka majlis taklim dan rauhah di kediaman beliau di kota
Bangil. Beliau juga mengembangkan dakwah Islamiyyah di daerah-daerah lain di
sekitar kota Bangil. Di sana juga beliau mengamalkan ilmunya dengan mengajar
kepada murid-murid beliau. Keberadaan beliau di kota Bangil banyak membawa
kemanfaatan bagi masyarakat di kota tersebut. Tidak jarang pula, masyarakat
dari luar kota datang ke kota itu dengan tujuan untuk mengambil manfaat dari
beliau. Di antara murid-murid beliau yang menjadi ulama dan kiyai besar
adalah:-
Kiyai Kholil Bangkalan;
Kiyai Zayadi;
Kiyai Husein;
Kiyai Mustafa;
Kiyai Muhammad Thahir;
Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhar;
Habib 'Alwi bin Muhammad al-Haddad;
Habib 'Ali bin Abdur Rahman al-Habsyi (Habib Ali Kwitang);
Habib Ahmad bin Muhsin al-Haddar.
Beliau juga ada mengarang beberapa
karya tulis, antaranya:-
Hujjatul Mukminin fit Tawassul bi Sayyidil Mursalin;
Maulidil Haddad, nazam maulid Junjungan Nabi SAW.
Habib
'Abdullah bin Ali al-Haddad adalah seorang yang sangat pemurah dan sangat
memperhatikan para fakir miskin. Bahkan setelah bermastautin di Kota Bangil,
beliau bukan sahaja menyara keluarga dan murid-muridnya bahkan puluhan lagi
keluarga miskin yang berada di sekitarnya dibiayai belanja mereka pada setiap
bulan. Dan sering pada waktu malam, ketika orang tidur, beliau akan meronda
sekitar Kota Bangil untuk mencari orang yang perlukan bantuan.
Habib
'Abdullah adalah seorang yang tidak suka dengan kemasyhuran. Beliau tidak suka
difoto atau dilukis. Beberapa kali dicoba untuk difoto tanpa sepengetahuan
beliau, tetapi foto tersebut tidak jadi atau rusak. Beliau adalah seorang yang
mempunyai sifat tawadhu. Beliau selalu menekankan kepada para muridnya untuk
tidak takabur, sombong dan riya. Dakwah yang beliau jalankan adalah semata-mata
hanya mengharapkan keridhaan Allah Azza wa Jalla. Dan inilah bendera dakwah
beliau yang tidak lain itu semua mengikuti jalan yang telah ditempuh oleh para
pendahulunya.
Pada
hari Jum'at, 15 Shafar 1331 H, sesudah melaksanakan shalat Ashar, berpulanglah
Habib 'Abdullah bin 'Ali al-Haddad kepada Tuhan Rabbul Alamin dengan amal baik
beliau yang beliau tanam semasa hidupnya. Beliau disemadikan di daerah Sangeng,
Bangil. Moga-moga Allah meredhai dan merahmatinya sentiasa dan menghubungkan
keberkatan beliau kepada kita sekalian.... al-Fatihah.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !